Bila Saya Dipanggil Perempuan Bodoh, Otak Tak Ada.. :((

Kejadian ni baru saja berlaku tadi.

Saya dalam perjalanan ke pejabat untuk menghantar karipap yang ditempah kawan-kawan. Saya cuti ganti kerana bekerja pada hari minggu. Saya memandu kereta ke pejabat yang hanya 10 minit jarak perjalanan. Jalan yang sama saya lalui, tapi kali ni sungguh saya tak sangka..

Saya memandu di lorong kanan di Jalan Parit Mesjid. Jalan ni kecil saja. Tidak berbaloi untuk memandu laju kerana ada banyak lorong kecil di kiri dan kanan. Kenderaan sentiasa banyak, begitu juga penunggang basikal. Kiri kanan sentiasa ada lorong taman-taman perumahan. Panduan dalam 60km/j sahaja. Kemudian secara tiba-tiba sebuah lori yang panjang dan besar masuk ke jalan ini, dari simpang sebelah kiri. Lori besar itu memandu ke arah bertentangan dengan saya, dan me'makan' laluan yang saya bakal lalui di depan. Saya terkejut dan terus ke lorong kiri. Dalam hati saya marah dengan lori tu kerana masuk sesuka hati. Tak lama kemudian kereta saya berhenti di simpang lampu isyarat. Di sini saya menunggu untuk belok ke kiri.

Sebuah motosikal ditunggangi lelaki, sambil anaknya duduk di raga memintas ke depan dan berhenti, betul-betul di tepi tayar depan. Beberapa kali dia menoleh ke arah saya sambil berkata-kata kepada anaknya, yang saya rasa dalam lingkungan usia 3 tahun. Saya tak sedap hati. Saya tarik brek tangan supaya kereta saya bersebelahan dengan motornya, menurunkan tingkap dan bertanya,
"Kenapa Encik? Saya ada berbuat salah ke? Encik macam marah dengan kereta saya?"

Dengan wajah yang teramat marah, dia menjerit,
"Kau nak langgar motor aku tadi!"

"Ye ke Encik. Saya tak perasan. Yang masa lori besar masuk tadi tu ke? Saya-"

"Yelah perempuan bodoh! Otak tak ada! ..." Banyak lagi maki hamunnya, tak sempat saya minta maaf. Lampu isyarat telah bertukar hijau dan maki hamunnya berhenti di situ.
Saya terdiam. Semua orang memerhatikan saya.

Saya terus ke selekoh kiri, manakala motor tu terus ke depan. Saya tak ingat no. motornya, saya hanya perasan helmet merah yang dipakai anaknya. Rasa bersalah menyelubungi diri. Apa yang telah saya buat? Mengapa dia terlalu marah? Dan apa yang patut saya buat? Biarkan? Tidak, saya kena tanya apa yang sebenarnya berlaku. Jika saya bersalah, saya kena mohon maaf. Tadi saya tak sempat nak kata apa-apa.

Saya tekad nak cari motor tu. Saya berdoa sungguh-sungguh supaya Allah temukan semula saya dengan penunggang tu. Walaupun saya terpaksa patah balik dan buat pusingan U (memang jauhh) dengan kebarangkalian untuk jumpa semula yang entahlah.. Susah nak kata. Boleh jadi penunggang tu terus ke laluan tepi laut, atau belok kiri ke pekan Pontian Kechil atau ke kanan menuju ke Benut. Saya pasrah dan terus berdoa dalam hati.

Selepas buat pusingan U, saya memandu terus. Saya rasa mungkin dia nak bawa anaknya ke Klinik Kesihatan Pontian, atau mungkin ke Klinik Halizah. Beza jarak antara saya dan motor tadi mungkin 10 minit sekarang. Harapnya dia tak jauh. Kiri kanan mata saya melilau kalau-kalau terlihat motornya. Sampai di Klinik Kesihatan Pontian, saya terus mencari jika ada motor dengan helmet kanak-kanak berwarna merah. Ada. Mungkin bukan orang tu tapi saya tekad nak tunggu di situ. Maka saya cari tempat letak kereta, saya turun dan kembali semula ke motor tadi. Ada lelaki sedang dukung budak kecil di situ. Mungkin dia.

"Encik, encik yang bawa motor tadi? Encik ingat saya? Saya bawa kereta..-"
"Saya bukan nak marah awak, tapi masa awak mengelak lori tu, awak hampir nak langgar saya. Anak saya hampir terjatuh. Kalau saya seorang, saya tak bimbang.."

Saya rasa nak menangis saat tu juga!

"Saya minta maaf encik. Saya cuba nak elak lori tadi. Saya tak tahu ada motor kat sebelah kiri."
"Takpelah. Bukan salah awak, lori tu tiba-tiba keluar.."
"Saya bukan pemandu yang jahat encik. Saya betul-betul minta maaf. Puas saya cari motor encik, nasib baik dapat jumpa semula. Saya juga ada anak kecil. Tak mungkin saya sengaja. Maafkanlah saya"
"Saya pun minta maaf juga. Saya maki hamun awak tadi"

Saya bersalaman dengan anaknya. Laju je mulut ni menyebut 'acik minta maaf ye..'
Akhirnya kami saling tersenyum. Namun jauh dalam hati, sampai sekarang masih terkesan lagi. Harapnya lelaki tu benar-benar maafkan saya :'(

Saya memang takut sangat berbuat salah. Ampunkanlah aku Ya Allah..

Monday, May 09, 2011

7 Comments:

lisa said...

semoga Allah memelihara ibu2 yang mempunyai anak2 kecil...

saisyahk said...

sedih pulak aku baca ni.

Syikin said...

Semoga menjadi iktibar pada kite semua....tauladan yang baik perlu diikut...

Tasneem Sayorwan said...

Tahniah kak yan. Tak ramai macam kak yan, ramai yang tinggal begitu saja. Semoga Allah pelihara.

thinkpositive said...

assalamualaikum kak.
sy ada terbca ttg displasia...
minta kak emel atau fb sy dgn segera...
myszmasy@yahoo.com

wakgelas said...

alaa, wak baru je nk singgah sinii..

NORMA KANCHIL said...

menitis air mata membacanye...blh jd penulis novel nih!!!smoga awak di maafkan..

 
.:: cerita hamba ::. - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger