Al - Fatihah Buat Serikandi

Saya sangat terkejut dengan pemergian Benazir Bhutto ke rahmatullah. Sangat ketara nyawanya sangat terancam di bumi sendiri (berdasarkan cubaan membunuhnya ketika beliau baru sampai ke Pakistan). Namun saya bagaikan tak bersedia dengan kematiannya. Saya mengharapkan perjuangannya diteruskan, namun nampaknya tak kesampaian.

Saya teringat di zaman sekolah dahulu, betapa saya sangat membencinya. Mungkin kerana terpengaruh dengan kes rasuah yang melibatkan beliau. Tetapi beliau sebenarnya adalah seorang pejuang yang berani. Kerana keberaniannya, musuh-musuhnya tak senang duduk bila dia kembali ke tempat asalnya ini.

Moga Allah melimpahkan rahmatnya ke atas roh Benazir Bhutto. Namanya tersemat sebagai Perdana Menteri Wanita Pertama sebuah negara Islam!

Saturday, December 29, 2007

Dari Feto Maternal Unit HKL 2: Appoinment Ke-2

Saya tangguhkan sambungan part 1 hari tu.. Semalam saya ke appoinment kedua, jadi saya updatekan terus.

Kali kedua scan baby di sini. Tak banyak beza result berbanding 2 minggu lepas. Saiz anak sama saja.. relatively tulang-tulangnya terlalu pendek. Kecuali kepalanya makin besar.. Kandungan saya sudah memasuki minggu ke-29, tetapi saiz kepala anak sudah menjangkau saiz 35 minggu.. Terlalu besar!

Scan kali ini mmg sangat lama.. Mula-mula Dr. Norazimah scan, kemudian saya dibawa berjmpa Dr. Baskaran. Dr. Baskaran lebih senior dari Dr. Norazimah. Dan tak pernah saya mengalami proses scan yang sangat menyakitkan.. mungkin kerana Dr. Baskaran ni lelaki. Mungkin dia kurang perasan yang saya sedang menahan sakit.

Di bilik Dr. Baskaran ada dua skrin komputer. Satu skrin menghadapnya, satu lagi betul-betul di kaki katil saya. Apa yg terpapar di skrin Dr. itu juga terpapar pada skrin yg menghadap saya. Ada lebih kurang 5 orang doktor lain, dan 3 nurse memerhatikan skrin itu yang menunjukkan segala struktur tulang baby.

Setelah segalanya selesai, kami dibawa berbincang ke sebuah bilik rehat. Duduk di sofa, saya rasa lebih relaks. Saya harap saya dapat bertenang mendengar penjelasan dari doktor. Dr. Norazimah dan Dr. Baskaran duduk di hadapan saya dan abang. Ada lagi seorang nurse menyertai kami. Penjelasan kedua-dua doktor :

"Sebelum ni kami dah beritahu, baby awak mengalami Fetal Skeletal Dysplasia. (Dalam 175 jenis Skeletal Dysplasia itu,) baby ini mengalami Thanatophoric dysplasia (TD) Type 2 . Kami dapat kenalpasti jenis itu hari ini berdasarkan struktur tulang kepalanya yang berbentuk 'cloverleaf'. Tulang kepala itu memang sangat berbeza dan ia sangat besar berbanding bayi biasa,"

"Apa puncanya penyakit ni doktor?"

"Bukan disebabkan apa yang si ibu pernah makan/tak makan, buat/tak buat.. Juga bukan kerana keturunan. Bukan salah sesiapa. Setiap manusia mempunyai 23 pasang kromosom. Semasa proses pembentukan fetus, ia mewarisi ciri-ciri dari kedua ibubapanya melalui kromosom ini. TD ini terjadi disebabkan mutasi pada kromosom ke-4, iaitu Fibroblast Growth Factor Feceptor 3 Gene (FGFR3). Mutasi pada satu kromosom ini memberi impak pada tulang-tulang baby, "

"Kesan mutasi ini kita dapat lihat dari scan. Tulang-tulang terutamanya pada kepala, kaki, tangan dan rusuk adalah tidak normal. Kepala sangat besar. Kaki dan tangan sangat pendek. Dada kecil. Masalah mula timbul kerana walaupun tulang-tulang tidak membesar, tisu-tisu badan seperti otot, daging dan kulit masih berkembang. Ni menyebabkan daging pada tulang berlipat-lipat dan nampak chubby,"

Saya teringat semasa scan tadi, Dr. tunjukkan saya jari-jari baby saya yang chubby, montel. Kasihan dia.. dia tak dapat merapatkan jari-jari tangannya..

"Tulang rusuk juga tak membesar menyebabkan dada jadi sangat kecil. Maka paru-paru baby tak dapat membesar. Dia akan sukar bernafas apabila lahir nanti. Tisu badan di bahagian dada sebaliknya terus berkembang, ia akhirnya memberi tekanan pada rusuk. Salur pemakanan, esofagus juga terhimpit menyebabkan baby awak sukar untuk minum. Air ketuban awak semakin banyak dari hari ke hari kerana baby awak lebih banyak kencing berbanding minum.."

"Berapa peratus peluang untuk dia hidup?"

"......... Tak pernah ada baby begini yang hidup selepas 7 hari. Kecuali di luar negara, pernah direkodkan 2 orang baby yang dapat hidup. Seorang hingga 6 tahun, seorang lagi sehingga 10 tahun. But they have no quality of life. Mereka bergantung pada bantuan pernafasan sepanjang hayat, dan mereka tidak boleh bergerak sendiri (ringkasnya, bedridden...)."

Dr. Norazimah membawa sebuah buku tentang penyakit ini. Setelah kami katakan kami sudah bersedia untuk melihat foto-foto kes bayi yang mengalami penyakit ini, dia tunjukkan kepada kami. Kasihan saya melihat foto-foto bayi tu. Allahu akbar..

Saya tak tahu apakah reaksi wajah saya.. Saya tak tahu, saya tak ingat.. Yang saya sedar, tiba-tiba nurse yang sejak tadi berdiri di hadapan kami telah ke sebelah saya dan memeluk bahu saya. Saya dengar sebak dari suara nurse tu.. Dia menangis!

Perbincangan seterusnya lebih kepada bagaimana mengurangkan risiko terhadap saya. Apakah kaedah terbaik melahirkan baby ini.. Adakah saya perlu bersalin awal..

Tak banyak opsyen yang saya ada.. Saya sambung pada entry seterusnya.

Wednesday, December 19, 2007

Kedua

Dialog ni sebenarnya dah lama.. Di awal2 perkahwinan dulu :) Tiba2 saya terkenang2kan pula.

Abang : B tau kan, b ni wanita kedua di hati abang?
Saya : Tahu.. Abang kenalah utamakan umi (ibu mertua saya) dulu. Abang pun sebenarnya lelaki kedua dalam hidup b ni. Abang tahu kan?
Abang : Hmm.. tahu..

Masing2 orang kedua!

Sunday, December 09, 2007

Dari Feto Maternal Unit HKL 1 : Mengukur Si Kecil

Rabu, 5 Dis lepas saya telah ke Feto Maternal Unit HKL, bertemu subspecialist Dr. Norazimah. Tak perlu tunggu lama kerana appoinment dgn beliau dah dibuat awal2 oleh Dr. Wan Hamilton dari Hosp. Serdang. Dengan langkah yang positif, disertai doa dan harapan.. Saya dan abang terus ke bilik ultrasound.

Dr. Norazimah memperkenalkan dirinya. Lembut dan ramah orangnya. Saya baring untuk scan. Abang pula duduk di kaki saya. Skrin jelas di tepi saya. "Kita buat detail scan ya", kata Dr.

Kerana scan kali ini sgt detail dan 3D pula, saya rasa teruja..

Struktur tulang-temulang baby nampak jelas ketara. Dr. beritahu, tulang bahagian apa dan kemudian dia akan 'capture' untuk diukur. Tulang humerus, radius, dll.. Kami mulakan dari kepala baby hingga ke kaki. Ukur lilit kepala, abdomen, dada dll. Segalanya nampak sempurna di mata saya.. Dalam kami sedang seronok melihat2 si kecil ini, tiba2 dia mengangkat sebelah kiri tangannya, melambai2 pada kami!

"Tengok, anak awak say hi!" kata Dr.
Dan ada suara terjerit "Subhanallah!". Saya senyum, suara abang rupanya..

Kemudian doktor periksa aliran darah pada tali pusat. Ada warna biru dan merah, seakan aliran darah di kawasan tali pusat itu. Normal, kata Dr. Dia memeriksa pula bunyi aliran darah tu, saya turut mendengarnya.. Dan di skrin sudah ada graf aliran bunyi tu. Canggih!

Dr. zoom pula ke bahagian otak. Struktur yg tidak saya fahami. "Struktur otak dia pun ok.." Kemudian bergerak ke jantung. Kecil tapi kencang degupnya. Dr. zoom lebih dekat.. Kami nampak 'bilik-bilik' dalam jantung itu.. Nampak derasnya aliran darah keluar masuk. Alhamdulillah normal juga.

Jadi apa masalahnya ya? Ini penjelasannya berdasarkan skrin tu..

Kepala --> Saiz kepala yg kecil. Tp masih ok. Walaubagaimanapun, tulang kepala tidak membulat lonjong seperti yg sepatutnya. Bila Dr. zoom di bahagian kepala itu, baru saya perasan.. memang lain sikit. Ada lekukan ketara di kiri dan kanan.

Paru-paru --> Dari skrin, didapati ukuran dada lebih kecil berbanding abdomen. Sepatutnya dada dan abdomen sama saja saiznya. Ya, saiz dada sangat kecil. Oleh sebab dada terlalu kecil, saiz jantung kelihatan sangat besar hingga meliputi seluruh dadanya. Sepatutnya saiz jantung hanya satu pertiga dari saiz dada. Dan kerana saiz dada yg terlalu kecil juga, peparu tidak dapat membesar seperti saiz sepatutnya...

Tulang tangan --> Sangat kecil. Kandungan saya berusia 28 minggu sekarang, tetapi malangnya, tulang tangannya pendek = usia 15 minggu sahaja.

Tulang paha --> Kes yang sama seperti tulang tangannya. Ukuran seperti baru 15 minggu. Sepatutnya tulang paha sudah mencapai 5cm, tetapi ia baru 1.6 cm..

Air ketuban --> Terlalu banyak. Paras normal ialah 5-25. Setelah didiagnosis, air ketuban saya sudah mencapai 32. Kata Dr., ia menyebabkan saya sering luar biasa penat, mengah2 dan senak. Saya dinasihatkan untuk mengeluarkan air ketuban supaya normal semula. Jika tidak, ia akan bertambah banyak.

Mendengar penerangan Dr. di bilik scan tu, saya merasa syukur.. Di akhir proses scan, Dr. tanyakan kami, "Ada apa2 lagi yg awak nk tengok?" Kami minta lihat jantinanya.. Dr. zoom dan pusing arah kamera.. kami lihat dari arah sisi dan depan. Hehe.. Tak malunya dia..

Kemudian kami melihat gelagat2nya.. Sesekali dia angkat kakinya. Dan yang menarik sekali bila Dr. zoom ke wajahnya, memusingkan sudut supaya kami betul2 menatap wajahnya. Nampak kelopak mata, hidung dan mulut. Comelnya. Tiba-tiba dia membuka mulut, menjelir lidah!

"Anak awak sedang minum air"

Mulutnya terbuka, menghirup air ketuban rupanya. Comel.. Hidungnya mancung juga. Seakan2 wajah Afif :)

Tapi penerangan Dr. tadi hanya pengenalan saja. Banyak lagi perkara yang harus dibincangkan.. Yang akan menceritakan masalah sebenar.

"Kita bincang di meja depan", kata Dr. Norazimah.

bersambung..

Friday, December 07, 2007

 
.:: cerita hamba ::. - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger