Duhai Anakanda..

Semalam ke klinik, 'meninjau' anakanda di dalam perut mama ni.. Sekarang anakanda sudah 16 minggu, mama yakin anak mama ini baru saja memiliki roh sendiri. Terima kasih ya Allah, kerana nyawa yang Kau berikan. Hanya Kau yang mampu mencipta sesuatu yang sukar manusia bayangkan.

Tidak tergambar perasaan, bila melihat anakanda yang kecil dan mungil, bergerak sedikit sambil menggeleng kepala dan mengangkat tangan. Seronokkah berenang dalam perut mama? Abang Afif gembira sungguh melihat adiknya. Katanya, adik tak pakai baju lagikah? Hmm sukarnya menjawab soalan si Abang...

Kata doktor, perkembangan anakanda baik sekali. Sudah ada tulang belakang, saiz kepala yang normal, kaki dan tangan yang normal juga. Alangkah lega bila ayah mendengarnya. Doktor sabar menjawab soalan ayah dan mama yang bertalu-talu.

Melihat anakanda yang semakin membesar dan sihat, hati mama makin kuat untuk beribadat. Mama tahu anak mama juga mahu turut serta. Kita buat bersama ya.. Bantu mama (dengan kuasa Allah) untuk bangkit di malam hari, dan kita khatamkan Quran bersama-sama, sebanyak mana yang boleh. Jika tak mampu seminggu, kita buat sebulan. Jika tak mampu sebulan, kita buat dalam 2 bulan. Kita berdua.

Mama berdoa siang dan malam moga anak mama kali ini dapat dikandungkan dengan selamat, dan dilahirkan dengan selamat. Walau mama masih takut dan bimbang, mama yakin kali ini rezeki mama dan ayah ada. Mama mahukan anakanda.

Bulan depan, appoinment dengan pakar sakit puan (O&G Specialist)

Friday, April 23, 2010

 
.:: cerita hamba ::. - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger