Salam Aidilfitri

Syawal datang lagi, Ramadhan hampir pergi.. di kesempatan ini, saya sekeluarga mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA, MOHON MAAF ZAHIR & BATIN atas segala jua kesalahan dan kesilapan.



Checklist Raya sudahpun disemak berkali-kali, Alhamdulillah tiada apa lagi yang nak dicari. Saya sudahpun berada di kampung halaman di Pasir Mas sejak 2 hari lalu. Dari JOHOR-KL-KELANTAN-TERENGGANU-JOHOR semula. Keseronokan sudahpun dirasa!

Moga kita mendapat keberkatan bersama keluarga masing-masing, bermaafan dan saling ziarah. Selepas ini saya bakal berehat panjang untuk menerima kehadiran orang baru pula :)

Thursday, September 09, 2010

Ramadhan Yang Semakin Jauh

Assalammualaikum..

Semakin jauh Ramadhan meninggalkan kita. Jujurnya saya terasa sedikit sayu. Sayu kerana saya terbiasa dengan rutin Ramadhan yang sangat memudahkan. Pukul 4.00-4.30 sudah bangkit dengan mudah, masak dan sahur yang akhirnya membawa kepada kerja-kerja rumah yang dibuat lebih awal dari biasa. Paling indah bila dapat belajar dengan lebih baik. Sebelah petang sebaik pulang dari kerja saja, saya terus menyediakan/masak untuk berbuka, solat dan tidur. Saya tak tengok TV langsung! (baru teringat, masih ada 6 juzuk yang harus dihabiskan.. moga dapat khatam dengan cepat)

Ramadhan kali ini juga membawa erti yang besar buat saya dan Afif. Pada usia 4 tahun, saya telah ajar Afif tentang Ramadhan dan puasa kepadanya. Alhamdulillah, tidak sukar mengejutnya bersahur bersama. Kebiasaannya Afif seorang yang suka menangis setiap kali bangun dari tidur, entah mengapa (mungkin kerana doa saya yang bersungguh2 supaya dimudahkan mengejutnya), segalanya jadi mudah. Saya hanya gerakkan tubuh Afif dan bertanya "Abang nak sahur?" dan Afif terus buka mata sambil angguk-anggukkan kepala. Alhamdulillah. Afif bersahur dengan penuh semangat, hingga menghabiskan lauk yang ada!


Afif yang makan hingga licin, pada hari ke-3 bersahur

Afif tidak berpuasa penuh hingga ke petang, cukup hingga masuk waktu Zuhur. Itupun pengasuhnya merasa kesian padanya kerana semua kawan-kawan di taska makan kecuali Afif seorang. Matlamat saya hanyalah mendidik 'mengapa' perlu berpuasa kepada Afif, dan yang penting ialah bersahur. Afif sering bertanya tentang puasa, mengapa perlu tahan lapar, mengapa tak boleh minum susu. Macam biasa, kerana ini dugaan Allah, supaya kita ingat pada mereka yang tiada duit untuk makan.

Ramadhan kali ini juga adalah peluang terbaik kepada saya (yang sedang mengandung) untuk berpuasa penuh. Saya akan cuba sedaya upaya. InsyaAllah..

Moga Ramadhan ini memberikan keberkatan melebihi Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang dirindui, moga berjumpa lagi.

Ya Allah, terimalah pemberianku sepanjang Ramadhan ini. Rabbana taqabbal minna 'innaka 'antassami 'ul 'aliim...

Friday, September 03, 2010

 
.:: cerita hamba ::. - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger