"Nak letak nama apa?"
"Macam yang kita rancangkan.. Muhammad Abid Hayyan,"
"Hayyan tu eja dengan double 'y' atau huruf 'i'?"
"Letak double 'y' lah.. saya nak nama dia dekat dengan nama saya,"
"OK. Abang ikut b,"
Lebih kurang seminggu selepas melahirkan arwah Abid Hayyan, Abang bersiap untuk mendaftarkan kelahiran dan kematiannya. Dokumen seperti sijil mati, surat pengesahan kelahiran dan kematian dari doktor dan lain-lain sudah tersedia. Kami pernah daftarkan kelahiran Afif dulu, tapi kali ni berbeza. Perasaan kali ni bercampur-baur..
Saya hanya tinggal di rumah. Saya dalam pantang. Saya rasa berdebar-debar menanti kepulangan Abang dari JPN. Nak sangat tunggu Sijil Kelahiran Hayyan siap. Saya nak tengok puas-puas nama Hayyan pada sijil tu nanti. Ia akan jadi kenangan kami.
Tapi alangkah terkejutnya saya. Abang pulang dengan sijil tak bernama. Ia bukan sijil kelahiran hidup. Sijil kelahiran mati?
"Arwah sempat hidup selama 39 minit. Kenapa dia bagi sijil lahir mati? Mana nama anak kita?"
"Orang JPN kata dokumen kita tak lengkap.. "
"Sijil lahir mati tu hanya untuk kandungan yang tak sempat hidup! Arwah lahir lengkap, sempat bernafas. Walaupun doktor ramal dia hanya hidup beberapa minit, tapi arwah bertahan lama! Tak bermaksud apa-apa ke pada Abang?"
Abang berlutut pada saya.. menahan kemarahan saya sambil memujuk lembut. Saya merasakan sedih yang amat sangat. Ini bukan pengakhiran yang saya mahukan. Macam-macam soalan 'menyerang' akal dan fikiran saya hinggakan Abang jadi mangsa kemarahan saya.
Saya menjauhkan diri dari semua orang dan menangis.. Istighfar berulang kali supaya marah saya reda. Saya nak lepaskan semuanya.
"Abang dah mohon pada staf kat kaunter tu.. Dia kata kes kita ni dianggap lahir mati.. Abang tak boleh buat apa-apa.. "
"Memang kat sijil lahir tu takde nama arwah, tapi dalam hati kita dia ada selamanya. . Kita lepaskan dia ya.."

Betul, walaupun namanya tiada tapi dia kekal sepanjang masa, di hati kami berdua.
Sayang, mama masih rindu kat kamu..