Mimpi Di Hospital
Selepas melalui C-Section surgery, saya disorong keluar dari OT (Operation Theatre) ke bilik wad yang baru. Berbanding bilik wad sebelum ini yang menempatkan 4 orang, wad ini hanya menampung untuk seorang saja. Senang kata, wad ini lebih kecil dan lebih privasi. Tandas untuk saya seorang. Doktor tempatkan saya jauh dari pesakit lain supaya saya tak sedih bila dengar bunyi bayi mereka yang baru lahir.
Malam pertama selepas operation tu, saya bermimpi sesuatu yang pelik. Dalam mimpi tu ada saya dan abang. Abang pegang tangan saya, kemudian tiba-tiba seakan ada kuasa yang kuat mengangkat kami ke atas. Kami bagaikan terbang tinggi ke langit. Tinggi dan laju..... Sangat laju dalam sekelip mata kami lihat bumi yang kecil di bawah kaki kami. Subhanallah, mimpi tu seakan benar-benar berlaku.
Emosi saya di hospital baik-baik saja. Selepas melihat arwah buat kali terakhir, saya sedikitpun tidak mengalirkan airmata. Pelawat datang tanpa henti hinggakan saya rasa penat dan hampir tertidur bila berbual dan bercerita! Cerita pada pelawat tentang perkara yang sama berulang kali pula tu.. :)
Sedih Di Rumah
Namun apabila dibenarkan keluar dari wad, emosi saya mula terasa. Menjejakkan kaki di rumah menyebabkan saya teringat pelbagai kenangan tentang si kecil. Melihat katil, dah rasa rindu. Yelah, saya teringat bila saya nak tidur je arwah dah start tendang-tendang perut. Bunyinya remeh-temeh. Mungkin sebab dalam pantang, saya mudah terikutkan perasaan.
Saya tekad nak keluar berjalan-jalan. Keluar rumah sewaktu dalam pantang?? Tak boleh! Tolonglah, saya rasa sedih asyik duduk di rumah saja.. Saya perlu keluar, bernafas dan merasa tenang. Abang, boleh tak?
Langgar Pantang
Jadi pada minggu ke-2 (hari ke 15 ) dalam pantang, saya berjalan ke kenduri kahwin kawan di Gombak..kemudian ke rumah mak abah di Balakong dan akhirnya membeli –belah di Alamanda.. Dalam keadaan luka jahitan yang belum sembuh (it takes at least 6 weeks untuk sembuh) dan kekurangan tenaga & darah, saya gagahi juga kaki ni untuk melangkah. Saya berdegil. Tak hingat langsung kepenatan naik turun tangga ke.. tolak troli barang shopping ke..mahu pun menjerit & mengejar Afif dalam pasaraya. Ia membantu saya melepaskan rasa sedih dan terkilan.
Semenjak keluar dari hospital, saya tak makan langsung painkiller yang dibekalkan doktor. Saya menahan sendiri segala kesakitan, biar lupa yang disedihkan. Abang kata saya hebat, dalam hati saya lemah..
Pulang ke Rumah Mertua
Minggu ke-3 (hari ke 21), keluarga mertua ajak pulang menetap di rumahnya di Pasir Mas. Naik kereta ibu saudara. Bukan mudah juga menaiki kereta dalam perjalanan yang hampir 11 jam. Dengan jalan yang bengkang-bengkok dan tidak rata. Sakit tapi tahan sajalah..
Saya rasa gembira untuk pulang. Seronok dapat keluar dari rumah. Saya di sini selama lebih dari 2 minggu. Menenangkan fikiran sambil berurut. Tempoh berpantang saya hampir habis sewaktu pulang ke Kuala Lumpur. Niat di hati nak tinggal di Kelantan lebih lama, tetapi abang suruh pulang dan kebetulan kakak ipar baru melahirkan anak. Bestnya dia dapat baby..
* untuk catatan kenangan